Monday, January 29, 2007

Pengenalan Dewasa Pertengahan


Dewasa pertengahan merupakan tahap perkembangan dewasa yang merangkumi individu lingkungan 40 hingga 60 tahun. Peringkat ini merupakan tahap individu mencapai tahap hidup yang seimbang secara luarannya, seperti berjaya dalam kerjaya dan juga mempunyai kehidupan yang sempurna iaitu hidup berkeluarga. Pada usia ini, individu sudah mempunyai banyak pengalaman, mempunyai kewangan yang stabil dan mempunyai status sosial yang baik dalam masyarakat.

Pada peringkat inilah, kepimpinan individu lebih terserlah dan kukuh. Walaubagaimanapun, peringkat ini juga dikenali sebagai tahap usia berbahaya. Bahaya tersebut diintepritasikan sebagai usia peralihan individu dari muda ke tua atau transisi yang melibatkan banyak perubahan dari segi fizikal, psikologi dan juga mental. Perubahan- perubahan tersebut banyak memberi kesan kepada diri individu seperti berlakunya konflik dalaman, krisis kehidupan, perasaan tidak puas hati atau penilaian semula, masalah kesihatan, tekanan hidup dan sebagainya. Terdapat juga individu yang tidak tahu di mana letaknya diri mereka kerana mereka berada di tahap usia antara muda dan tua. Oleh itu, ada di antara mereka cuba meyakinkan diri bahawa mereka masih muda dengan mengekspresikannya melalui pertuturan, pakaian dan tingkah laku orang muda.

Individu dewasa pertengahan ini sebenarnya berhadapan dengan pola kehidupan baru yang memerlukan penyesuaian diri untuk mengimbangi keperluan fisiologi. Adalah normal jika dilihat masih terdapat individu yang sudah memasuki usia 40-an berperawatakan seperti orang muda. Berdasarkan kajian-kajian lepas, pada tahap ini pelbagai konflik atau juga boleh dianggap sebagai krisis wujud di kalangan kaum lelaki mahupun wanita akibat perubahan dalam diri mereka. Perubahan yang berlaku dikenali sebagai peringkat 'climacterium' atau sebagai tahap terdapat banyak perubahan dalam fungsi fizikal dan psikologi yang semakin berkurangan.

Menurut Muelder “ Men undergo a change in vitality and women a change in fertility” (Prof. Dr. Saparinah Sadli: 1983). Ketidakupayaan individu mengimbangi keperluan hidup baik dari segi fizikal dan mental serta keperluan lain akan mengakibatkan pelbagai masalah atau krisis hidup yang serius. Krisis-krisis dalam tempoh dewasa pertengahan akan dibincangkan dalam perenggan selanjutnya. Oleh itu, walaupun pada tahap ini individu digambarkan akan melalui satu tahap perkembangan yang sukar, namun masih terdapat pelbagai cara untuk berhadapan dengan tempoh ini secara berkesan. Bagaimana tahap itu dihadapi, begitulah kesan yang diperolehi.

Ahli Kumpulan Psiko-Mid

Azwandi Azalan A108832
Lee Chee Yeng(Gwen) A105518
Haliza bt. Abdul Hamid A105167
Lim Wei Wah A105449
Noraimi Aainaa bt. Omar A107843