Monday, April 9, 2007

Perbezaan Perspektif (merangkumi penerimaan, pandangan dan gaya hidup) Individu Lingkungan Dewasa Pertengahan di Barat dan di Malaysia Secara Rambang.

Secara rambang, diperhatikan berdasarkan kajian lepas di barat dan juga pemerhatian kami terhadap individu dewasa pertengahan di Malaysia, terdapat perbezaan berkenaan penerimaan dan cara hidup yang diamalkan. Perbezaan tersebut tidaklah begitu ketara memandangkan setiap individu di dunia ini mengalami tempoh hayat yang lebih kurang sama dan juga sudah menjadi fitrah manusia dijadikan sedemikian rupa untuk melalui peringkat-peringkat atau pola-pola tertentu di dalam kehidupan. Perbezaan yang dapat dinyatakan di sini adalah berdasarkan budaya (culture), corak pemakanan, gaya hidup (life style), latar belakang kerjaya dan pendidikan, serta amalan kepercayaan atau agama (belief).
Tempoh dewasa pertengahan adalah tempoh transisi iaitu tempoh seseorang individu itu mengalami perubahan dari muda kepada tua. Perubahan pola hidup ini sememangnya memberi implikasi yang besar kepada setiap diri individu yang mengalaminya. Walaubagaimanapun, penerimaan setiap individu adalah berbeza samada menerima pola hidup baru tersebut dengan tenang atau sebaliknya. Berdasarkan perkembangan dewasa pertengahan, peringkat ini merupakan peringkat seseorang individu itu mencapai kemuncak dalam kerjaya, dan penurunan dalam hubungan intim atau hubungan sosial. Terdapat pelbagai cara bagi individu dewasa pertengahan melalui tempoh masa ini, samada menerima dengan terbuka atau menafikannya. Penafian terhadap usia ini jelas melalui cara atau gaya hidup seseorang. Penafian dilakukan dengan menjalani kehidupan seperti orang muda dengan mengenakan pakaian yang 'funky' dan ‘trendy’, mencari pasangan muda, mendapatkan produk-produk kesihatan dan juga mendapatkan rawatan kecantikan. Keadaan tersebut berlaku di Malaysia dan juga di barat, namun dapat diperhatikan ada perbezaan ekoran budaya, pendidikan dan juga kepercayaan.
Diperhatikan bahawa, penerimaan terhadap pola kehidupan dewasa pertengahan adalah berbeza-beza. Bagi individu yang berkerjaya dan berpendidikan tinggi, isu utama yang menjadi konflik dalam diri mereka adalah prestij dan keterampilan fizikal serta keupayaan kognitif mereka. Walaupun, tempoh ini merupakan tempoh kemuncak bagi mereka dalam kerjaya, namun telah berlaku pengesotan keupayaan mereka dalam reproduksi dan daya kognitif. Kekuatan fizikal juga telah berkurangan. Keadaan ini menimbulkan konflik dalam diri mereka bahawa mereka sudah tua dan kurang menarik. Bagi menafikan kekurangan tersebut, mereka akan mencari pasangan yang lebih muda bagi memperbaiki ‘harga diri’ mereka. Sebagai kesan, ia akan menimbulkana kembali semangat dan prestij sebagai seseorang individu yang ‘berguna’, berperanan dan bahawa mereka masih lagi mampu menarik perhatian orang lain (jantina yang berbeza). Di Malaysia diperhatikan, terdapat ramai individu lelaki dewasa pertengahan yang berjaya dan berkedudukan tinggi mencari dan mengahwini pasangan yang lebih muda walaupun mereka sudah berumahtangga dan mempunyai anak. Keadaan inilah yang menjadi punca kepada kecurangan, perceraian atau poligami (Islam).
Di barat pula, tidak berlaku poligami kerana agama mereka tidak mengizinkan, tetapi dapat diperhatikan bahawa individu dewasa pertengahan di barat juga mengalami konflik yang sama. Di sana juga berlaku kecurangan dan perceraian namun masih terdapat perbezaan yang ketara berbanding di Malaysia. Perbezaan ketara yang berlaku dalam konteks penerimaan pola hidup dewasa pertengahan ialah mereka bebas melakukan hubungan sulit atau seks bebas bagi mengekalkan prestij mereka sebagai seorang lelaki atau wanita matang. Kecurangan dalam hubungan suami isteri di barat adalah jauh lebih tinggi berbanding di Malaysia. Budaya mereka amatlah bertentangan dengan budaya di Malaysia ekoran latar belakang agama dan amalan cara hidup mereka yang bebas serta corak hidup bermasyarakat yang lebih individualistik. Berdasarkan bilangan kes HIV dan AIDS serta penyakit kelamin, masyarakat barat lebih mendominasinya. Hubungan sosial yang terlalu terbuka dan tiada batasan menyebabkan budaya barat semakin terpesong daripada norma murni dan akhlak yang mulia. Oleh itu jelaslah penerimaan di barat dan di Malaysia mempunyai perbezaan.

Disamping itu, terdapat juga individu dewasa pertengahan yang menafikan perubahan fizikal mereka melalui pakaian dan cara hidup mereka. Penafian yang dilakukan adalah bertujuan mengekalkan prestij, penerimaan masyarakat dan juga kepuasan bekerja. Sebagai contoh, para artis yang sudah meningkat umur, masih kekal berpakaian seperti orang muda dan bertingkah laku agresif. Mereka mahu kelihatan muda dan segar di khalayak ramai. Mereka mengenepikan keupayaan sebenar mereka semata- mata untuk menonjolkan bahawa mereka masih lagi mampu menghiburkan orang lain.
Di barat pula, keadaan mereka hampir sama dengan keadaan di Malaysia. Sebagai contoh kehidupan para artis yang sedang menuju tua ini, sentiasa mahu memuaskan hati orang lain, sanggup melakukan apa sahaja agar kelihatan muda, cantik dan menarik. Di barat, mereka sanggup melakukan tindakan ekstrem seperti melakukan pembedahan plastik untuk merubah rupa paras mereka. Sebagai contoh, seorang artis kulit hitam, Micheal Jackson yang menukar keseluruhan rupa fizikalnya untuk mendapat tempat di hati peminat dan masyarakat. Selain itu, terdapat juga individu yang cuba menjadi cantik sehingga mendatangkan kemudaratan kepada diri mereka. Sebagai contoh kerana terlalu ingin menjaga badan, mereka sanggup memuntahkan makanan yang dimakan. Ia dilakukan untuk mengekalkan bentuk badan yang difikirkan cantik, iaitu mempunyai saiz 00. Ia merupakan sejenis penyakit yang dikenali sebagai, Aneroxia Nervosa yang boleh membawa maut. Disamping itu, ramai di antara mereka yang melakukan pelbagai pembedahan implan, mengubah bentuk asal tubuh badan mereka dan sebagainya ekoran tidak dapat menerima hakikat bahawa diri mereka sudah tua dan tidak menarik lagi.

Selain itu, jika dilihat di negara kita kini, terdapat pelbagai minuman kesihatan dihasilkan dan menjadikan golongan dewasa pertengahan sebagai kumpulan sasaran utama. Minuman kesihatan tersebut dipasarkan dengan banyaknya dalam pelbagai jenama tetapi mempunyai tujuan yang sama iaitu berkhasiat untuk meningkatkan kesihatan dan keupayaan batin lelaki mahupun wanita. Lambakan produk tersebut membuatkan sesetengah golongan berlumba-lumba untuk mendapatkannya. Khasiat yang dipercayai memberi kesan terhadap hubungan intim suami isteri memberi kelebihan kepada individu dewasa pertengahan mengatasi masalah reproduksi. Namun, sejauh manakah keberkesanannya? Walaubaimanapun, inilah fenomena yang berlaku kini di kalangan dewasa pertengahan yang cuba menafikan perubahan keupayaan fisiologi mereka.
Manakala di Barat pula, lambakan produk-produk makanan kesihatan seperti pil-pil penjagaan badan (pil diet), pil penambah kekuatan batin (viagra), vitamin tambahan (supplements) dan sebagainya dapat mempengaruhi sesetengah individu untuk mencubanya. Di Barat, mereka akan melakukan apa sahaja untuk kelihatan cantik dan menarik walaupun sudah lanjut usia. Masalah kegemukan atau obesiti yang cenderung menyerang golongan dewasa pertengahan memungkinkan mereka mencuba pelbagai produk kesihatan yang dipercayai dapat menguruskan badan dan mendapatkan bentuk badan yang muda dan menarik. Terdapat pelbagai jenama produk menguruskan badan dihasilkan. Keadaaan ini juga berlaku di Malaysia. Walaubagaimanapun, keadaan di barat agak berbeza dan jauh lebih menonjol. Berdasarkan iklan-iklan dan barangan sedemikian, jelas mereka beria-ia dalam mengatasi masalah kegemukan. Mereka menggunakan pengaruh iklan secara besar-besaran bagi mendapatkan keyakinan pengguna terhadap keberkesanan barangan mereka. Mereka juga mengadakan rancanagan jualan produk secara langsung melalui televisyen bagi mengukuhkan lagi kepercayaan para penonton di rumah. Selain itu, mereka menggunakan stretegi testimoni pengguna bagi membuktikan kepada pelanggan lain bahawa produk mereka amat berkesan. Disamping produk makanan kesihatan, mereka banyak menghasilkan alat-alat bantu senaman yang memaparkan bagaimana para pengguna dapat menurunkan berat badan mereka dalam tempoh masa yang singkat. Mereka menggunakan para ahli bina badan dan model-model yang sudah sedia maklum mempunyai bentuk tubuh badan yang menarik untuk mengabui mata para pengguna. Produk-produk tersebut dilihat amat popular di barat walaupun harga yang ditawarkan agak tinggi. Bagi golongan dewasa pertengahan yang sudah mempunyai kedudukan kewangan yang stabil, ia tidak menjadi masalah bagi mereka untuk mendapatkan produk tersebut. Di barat, kesihatan dan rupa paras serta bentuk badan yang menarik adalah menjadi satu perkara yang penting dan diagung-agungkan dalam masyarakat mereka. Keadaan inilah yang membezakan antara Malaysia dan barat.

Kemudian, dilihat juga kini terdapat pelbagai barangan kosmetik dan produk kecantikan dihasilkan bagi membantu memulihkan atau mengurangkan masalah penuaan dan kedutan pada kulit. Pelbagai barangan kecantikan daripada set penjagaan wajah hinggalah kepada set penjagaan dalaman wanita dihasilkan dan diimport dari luar negara seperti Indonesia. Menjadi ‘trend’ terkini, produk-produk kecantikan yang berada di pasaran Malaysia menggunkan bahan-bahan semulajadi seperti gamat, akar-akar kayu, herba dan sebagainya dalam produk mereka bagi menarik perhatian pembeli. Khasiatnya dipercayai mampu mengembalikan keremajaan dan mengurangkan tanda-tanda lanjut usia. Barangan seperti ini sudah pasti dapat menarik minat golongan wanita dewasa pertengahan untuk mencubanya bagi menafikan perubahan fizikal dan keupayaan reproduksi mereka yang semakin berkurangan.
Manakala di barat pula, mereka juga menggunakan pelbagai produk kosmetik kecantikan bagi mengatasi masalah penuaan. Walaubagaimanapun, diperhatikan mereka menggunakan barangan yang berasaskan bahan kimia dan teknologi moden yang dipercayai lebih baik dan dapat memberi kesan yang lebih cepat. Produk yang berasaskan bahan kimia diketahui mampu mendatangkan kesan sampingan seperti kanser kulit. Namun, ia tidak menjadi satu persoalan kerana bagi mereka kecantikan adalah lebih utama. Disamping itu, di barat juga, mereka menghasilkan pelbagai serum yang dapat memulihkan kedutan dan menegangkan struktur kulit. Antara serum yang popular digunakan adalah Botox. Botox yang diambil melalui suntikan dipercayai lebih mujarab dan lebih cepat memberi kesan. Walaubagaimanapun, pengguna harus menanggung kesakitan semasa menerima rawatan dan juga risiko pada masa akan datang seperti penyakit kulit dan kedutan yang berpanjangan akibat perubahan imunisasi tubuh badan. Pengaruh dalam penggunaan produk sedemikian dilihat telah mempengaruhi segelintir individu di Malaysia. Sejauh mana keberkesanannya haruslah dipertimbangkan dengan risiko yang bakal dihadapi kerana adalah tidak berbaloi jika mereka mendapatkan rawatan sedemikian , dengan harga yang mahal, kemudian mendapat pelbagai kesan sampingan. Di sini, sekali lagi dilihat bahawa barat agak ekstrem dan bersungguh-sungguh dalam mengatasi masalah penuaan dan cuba melebarkan pengaruh penggunaan produk mereka ke negara luar secara besar-besaran.


Penafian-penafian yang berlaku adalah berikutan perasaan dan konflik dalaman diri individu yang tidak dapat menerima keadaan atau perubahan terhadap diri mereka. Antara punca yang menyebabkan mereka hilang motivasi adalah kerana kurangnya self-esteem dalam diri mereka. Sebagai contoh, seorang wanita yang semakin kehilangan peranan sebagai seorang ibu dalam keluarga kerana anak-anak sudah berkahwin, belajar dan sebagainya, merasakan bahawa diri mereka tidak berguna lagi. Ditambah pula dengan pengesotan keupayaan reproduksi, pasti akan merasa kehilangan, tidak menarik dan didatangi kesunyian. Keadaan ini merupakan konflik dalaman yang mampu membawa kepada masalah kemurungan. Oleh itu, sebagai individu yang matang, seharusnya, mereka dapat menerima keadaan mereka dengan baik dan tenang. Mereka boleh mengalihkan pandangan negatif terhadap diri sendiri dengan melakukan pelbagai aktiviti yang mampu mengelakkan daripada perasaan kesunyian. Sebagai seorang wanita 40-an tidak akan merasa kehilangan peranan utamanya apabila mereka mempertahankan self-esteem mereka dengan melakukan kegiatan yang menimbulkan perasaan bahawa mereka masih lagi berguna.. Kedudukan peranan sosial wanita pertengahan adalah sama pentingnya dengan kedudukan peranan sosial wanita di bawah 40-an. Justeru, ada kecenderungan sosial budaya bahawa wanita dewasa pertengahan akan menjadi semakin socially established atau lebih matang sehingga mampu memberikan lebih banyak sumbangan seumpamanya sebagai seorang guru (teacher) daripada pelajar (learner) dalam proses sosialisasi dan inkulturasi. (Dr. Kartono Mohamad & rakan: 1983). Namun wujud persoalan, adakah mereka akan memanfaatkan kelebihan tersebut dengan sebaik mungkin atau tidak?

Seseorang individu yang mempunyai self-esteem yang tinggi, mereka lebih bersedia menghadapi tempoh masa ini. Sebagai seorang wanita mahupun lelaki yang mempunyai pegangan agama dan pendidikan yang baik, mereka lebih tenang menghadapi perubahan pola hidup yang baru walaupun mereka mengalami kesan yang agak besar di dalam kehidupan. Sebagai contoh, seorang suri rumah yang mempunyai kekuatan dan pegangan agama yang kuat, dapat menjalani kehidupan hari tua dengan tenang. Masa yang terluang diisi dengan menghadiri kelas-kelas fardhu ain (bagi umat Islam), menggunakan masa untuk beriadah bersama suami seperti melancong, membaca, bercucuk tanam dan banyak lagi aktiviti berfaedah, daripada mengenangkan dan memikirkan perubahan pada diri. Walaupun ketika ini, peranan mereka sebagai seorang ibu atau bapa sudah berkurangan, namun ia tidak akan menjadi masalah jika mereka menjadi seorang yang tabah dan bersikap terbuka. Dalam tempoh masa ini, mereka lebih bersedia menerima kehadiran orang baru atau cucu kerana peranan sebagai seorang ibu atau ayah yang dirasakan telah hilang akan dapat dirasakan atau dinikmati kembali. Keadaan ini akan menjadikan hidup mereka semakin lengkap dan bahagia.

Perbezaan penerimaan pola baru ini antara barat dan Malaysia tidaklah begitu jauh berbeza walaupun terdapat cara-cara drastik yang begitu menonjol dan ekstrem di barat berbanding di Malaysia hingga mengenepikan soal-soal norma dan ketentuan Tuhan Persamaan masih jelas kelihatan apabila penerimaan tempoh ini barat diterima dengan baik dan tenang. Golongan yang mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi dan pegangan kepercayaan yang kuat mengamalkan cara hidup yang lebih bersederhana. Mereka lebih gemar hidup bersendirian bersama pasangan masing-masing dan menjalani kehidupan yang tenang. Berdasarkan kajian lepas, didapati terdapat inidividu yang menanti tempoh masa ini kerana bagi mereka ia merupakan tempoh masa yang amat berharga untuk dilalui bersama pasangan. Ketika ini, anak-anak sudah besar dan tanggungjawab mereka sudah agak ringan. Selain itu, mereka juga suka menghabiskan masa bersama pasangan dengan melancong ke negara lain.

Masalah-masalah yang timbul berikutan usia yang menuju tua diperhatikan amat dipengaruhi oleh sikap masyarakat terhadap orang tua. Pandangan bahawa tua adalah tidak berguna, tidak mempunyai peranan, tidak dapat memberi sumbangan terhadap masyarakat dan sebagainya harus dikikis. Sebagai individu dewasa pertengahan mereka sememangnya semakin pasif, rentan terhadap persekitaran, kurang ekstrovert dan kurang terbuka. Namun, kemampuan daya kognitif yang didasari dengan pelbagai pengalaman lepas dan pengetahuan yang banyak, menjadikan mereka lebih mudah bersetuju dan lebih peka terhadap sesuatu isu dan ia memperlihatkan bahawa mereka masih mempunyai peranan dalam masyarakat. Individu dewasa pertengahan tidak akan hilang peranan jika mereka tahu menggunakan peranan mereka dalam konteks sosial. Keadaan tersebut akan lebih jelas lagi jika golongan ini mempertahankan self-esteem mereka dengan melakukan kegiatan yang dapat menimbulkan perasaaan bahawa mereka masih lagi berguna.

1 comment:

Nurul Nahdzah Hasanah Ismail said...

Salam..mmg best blog ni sbb saya dpt tambah pengetahuan saya ttg subjek psikologi ni..saya ada satu soalan..apakah peranan agama dlm kehidupan zaman dewasa?(identiti,mekanisma daya-tindak,kesejahteraan psikologi)